Wednesday 6 June 2012

# Another Story of Adam and Hawa

Kadang-kadang,aku tertanya-tanya,masih wujudkah kasih sayang sejati di dunia ini? Masih adakah orang yang boleh betul-betul ikhlas menyayangiku,tanpa mempedulikan siapa diriku yang sebenar? Aku tercari-cari dalam kegelapan,dan suatu hari,aku telah menemui jawapan kepada apa yang aku cari.Saat takdir menemukan kami...
       ''Hai,boleh saya duduk di sebelah awak?'' Suara itu membuatkan aku tersentak dari lamunanku.Saat aku berpaling,aku melihat seorang lelaki yang sedernana saja orangnya sedang tersenyum memandangku.
       ''Duduklah.'' Balasku acuh tak acuh.Pandanganku diliarkan ke luar tingkap semula,meneruskan lamunanku yang terganggu dek teguran lelaki itu tadi.Wajah ayah yang sedang tersenyum melayang-layang di ruang mataku.
       ''Hai,nama saya Adam.'' Ternyata lelaki itu masih belum puas menggangguku.Aku menghempas keluhan kasar.
       ''Maaf,tapi kalau awak nak duduk sebelah saya lagi,tolong senyap boleh tak.Saya tak suka diganggu.'' Balasku,kasar dan tegas.Lelaki itu terus terdiam.Sepanjang tutorial berlangsung dia tidak membuka mulut lagi.
        Itulah kali pertama aku berjumpa dengan lelaki itu,pemilik nama Muhammad Adam bin Muhammad Aizril.Sejak tutorial itu,Adam tidak berputus asa untuk mendekatiku.Setiap hari dia asyik mencari peluang untuk bercakap denganku sehingga aku naik rimas.Mungkin kerana dia dibesarkan di luar negara,jadi orangnya lebih terus terang.
       ''Awak ni cantik,tapi sombong sangatlah Hawa.'' Komen Adam suatu hari apabila aku hanya membiarkan dia bercakap macam tunggul kayu.
       ''Kalau dah tahu aku sombong,tak payahlah nak bercakap dengan aku.Aku pun bukannya suka sangat dekat-dekat dengan kau.''
       ''Tapi saya suka.'' Adam mengenyitkan matanya kepadaku.Malas aku nak melayan
lelaki yang tak faham bahasa seperti Adam.Ku mengorak langkahku lebih pantas.
       ''Hei,jalanlah perlahan sikit.Nak pergi mana cepat-cepat macam ni? Rumah awak tu bukannya nak lari.'' Kata Adam apabila dia dapat memintasku. ''Jom saya hantar awak balik.''
       ''Aku ada kaki.Aku boleh balik sendiri.''
       ''Janganlah macam tu.Adam dan Hawa kan tak boleh dipisahkan.'' Gurau Adam.Setelah melihat aku menghadiahkan jelingan tajam kepadanya,baru dia berkata semula.
       ''Saya gurau jelah.Kan dah malam ni.Tak selamat perempuan macam awak balik sorang-sorang.''
      ''Selama ni aku balik sorang-sorang selamat je aku.Tak mati pun.''
      ''Manalah tahu nasib awak malam ni tak baik ke? Entah-entah perogol bersiri tengah tunggu awak kat stesen bas tu.''
      ''Lagi baik aku jumpa dengan perogol tu dari bersama dengan kau kat sini.''
      ''Hawa,awak janganlah degil sangat.Bas mana ada malam-malam macam ni.''
      ''Tak apa.Aku rela tunggu kat stesen bas tu sampai bas tu datang.''
      ''Ish,berani sungguh awak ni.Awak tak baca mastika eh, cerita hantu Maisarah yang kena langgar dengan bas tu? Malam-malam macam ni dia sukalah tunggu kat stesen bas,kacau....''
      ''Ish! Apa yang kau nak,hah?'' Jerkahku.Dalam hati,terdetik juga ketakutan mendengar cerita Adam itu.
      ''Hantar awak balik.Senang je kan?"
      ''Yalah,yalah.'' Aku mengalah,malas nak bertengkar dengan lelaki degil seperti Adam.Adam tersengih nakal.
      ''Hawa,suara siapa tu?" Soal Adam apabila mendengar suara wanita mengerang dari dalam rumahku.Aku mengeluh.Dia buat lagi!
      ''Thanks sebab hantar aku balik.Lain kali jangan datang lagi.'' Ujarku sebelum keluar dari dalam kereta.Aku terus masuk ke dalam rumah dan melihat ibu tiriku sedang mengerang kesakitan sambil cuba naik ke kerusi rodanya.
      ''Kau tengok-tengok apa tu? Tolonglah!'' Jerkah ibu tiriku apabila melihat aku hanya tercegat di tempatku.Baru aku perasan rantai emas yang selalu dipakai oleh ibu tiriku telah tiada di lehernya.Pasti anak kesayangan penagih dadah yang dia bangga-banggakan sangat selama ni yang mengambilnya.Aku tersenyum sinis.Padan muka!
       ''Pandai jatuh,pandailah bangun sendiri!'' Ujarku selamba seraya masuk ke dalam bilikku.Dapat kudengar ibu tiriku sedang memaki hamunku di luar.Namun aku tidak peduli.Bukan aku tidak biasa mendengar jerit pekiknya sebelum ini.Sejak kecil telinga aku sudah lali mendengar kata-kata celaan itu.Cuma sejak dia menjadi lumpuh disebabkan kemalangan saja mulutnya senyap sedikit.Sudah penat agaknya.

''ADAM?!!!'' Terkejut sekali aku apabila melihat siapa yang bertandang ke rumahku pada petang itu.Tiada angin,tiada ribut tiba-tiba saja lelaki yang sudah kuisytiharkan sebagai musuhku itu muncul.Apa yang dia nak?
      ''Hai.'' Adam tersenyum seraya melangkah masuk ke rumahku tanpa dijemput. ''Sorrylah aku datang tak beritahu dulu.Sebenarnya aku boring sangat duduk dekat rumah,sebab tulah aku datang sini.Ingat nak ajak kau keluar.''
      ''Tak ada,tak ada.Pergi ajak orang lain.Tak ada masa aku nak keluar dengan kau.'' Halauku.
      ''Ala,janganlah kejam sangat.Kau pun tahu kan aku tak ada ramai kawan sejak aku balik Malaysia.Kaulah satu-satunya kawan aku yang ada.''
     ''Dah kau tu asyik berkepit dengan aku je memanjang,macam mana kau nak ada kawan! Dahlah,pergi balik.''
     ''Tak nak!'' Adam menjelirkan lidah kepadaku.Geram aku dibuatnya.Tiba-tiba,hidung Adam tercium bau yang wangi.
     ''Wanginya! Kau masak eh?'' Kaki Adam terus menuju ke dapur.Aku mengekori langkahnya.Terlupa pula yang aku sedang memasak.
     ''Wah,kebetulan pula.Aku pun tengah lapar ni.Boleh makan kat sini sekali.'' Kata Adam girang.
     ''Jangan nak mengada-ngada.Kau ingat beras kat rumah aku ni free ke?''
     Adam memuncungkan bibirnya. ''Kedekut!''
     ''Hawa! Hawa!'' Tiba-tiba kedengaran suara perempuan tua itu memanggil namaku.Aku mengeluh.Apalah yang dia nak lagi ni?
     ''Adam,kalau kau nak makan kat sini,tolong aku goreng ikan.Kalau tak,dipersilakan balik!'' Perintahku.Adam hanya mengangguk tanpa banyak soal.Aku menuju ke bilik ibu tiriku.
     ''Nak apa?'' Soalku acuh tak acuh setelah membuka pintu balik.
     ''Hey,kau ni nak aku kebulur ke hah? Takkan dari tadi masak tak siap-siap lagi? Dasar perempuan lembap!'' Jerkah ibu tiriku yang tak pernah bermanis mulut denganku itu.
     ''Kalau nak cepat,masak sendiri! Orang dah tolong masak,banyak songeh pulak!'' Balasku sebelum pintu bilik itu kututup dengan kuat.
     ''Siapa tu?'' Soalan pertama Adam saat aku menjengah masuk ke dapur.
     ''Mak tiri aku.'' Balasku acuh tak acuh.
     ''Tu,dia menjerit-jerit lagi panggil kau.Dia nak apa?''
     ''Dahlah,tak payahlah pedulikan dia.Hai Adam,cepat bebenor kau goreng ikan tu.Rasanya tak sampai lima minit pun aku keluar dari dapur ni.''
     ''Biasalah.Dah nama pun Adam kan.Semuanya bisa sih.'' Ujar Adam dengan bangga.Meluat aku mendengarnya.Angkat bakul sendiri betul!
     ''Ya-ALLAH Adam! Apa yang kau buat ni?'' Aku mengucap panjang apabila melihat ikan yang digoreng oleh Adam.
     ''Aku goreng ikanlah.Kenapa?'' Dahi Adam berkerut.
     ''Apa pasal ikan kau ni gemuk sangat?''
     ''Dah ikan tu macam tu,nak buat macam mana.''
     ''Kau siang dulu tak ikan ni?''
     ''Hah?'' Adam menggaru-garu kepalanya. ''Siang ikan tu apa?''
     Aku menepuk-nepuk dahiku.Patutlah cepat sangat goreng ikannya,tak siang dulu rupanya.Macam manalah aku dengan bodohnya boleh suruh dia goreng ikan tadi.Tapi kemudiannya aku ketawa.Lucu pula dengan kebodohan Adam.
     Adam pula terpinga-pinga melihat aku ketawa.Tajam betul renungannya.Mungkin kerana hairan memikirkan kenapa aku ketawa.Atau mungkin kerana terpana kerana inilah kali pertama dia melihat aku ketawa.Entahlah.Tapi yang pasti,inilah kali pertama aku berasa senang sekali apabila aku bersama dengannya.Telatahnya betul-betul mencuit hatiku.

Sejak peristiwa tempoh hari,aku menjadi semakin rapat dengan Adam.Rasa tidak sukaku kepadanya hilang dalam sekelip mata.Adam yang kelakar dan pandai mengambil hatiku membuatkan aku rasa dihargai sekali.Tidak pernah ada sesiapa pun yang membuatkan aku mempunyai perasaan seperti ini sebelumnya.Hanya Adam,Adam, dan Adam.
      Tetapi pada suatu hari,ketenteramanku bersama Adam diganggu apabila abang tiriku tiba-tiba datang kepadaku dan Adam ketika kami sedang makan tengah hari.Tujuannya tak lain dan tak bukan ialah minta duit!
      ''Hawa,nak duit sikit!'' Kata abang tiriku,Nazir kepadaku.Malu betul aku melihat keadaannya yang tak terurus dan selekeh itu.Apatah lagi apabila kami bertiga menjadi perhatian semua di kedai makan itu.
      ''Aku mana ada duit! Dahlah,pergi dari sini.Jangan kacau aku lagi!'' Jawabku.
      ''Kau jangan nak tipu akulah,Hawa.Ni dah awal bulan.Duit pinjaman pelajaran kau dah masuk kan.Takkan nak bagi aku sikit pun tak boleh?'' Tengking Nazir.
      ''Tu duit untuk aku belajar,bukannya duit untuk beli benda haram kau tu!''
      ''Kurang ajar kau,Hawa!'' Nazir mahu menamparku,tetapi Adam pantas menahannya.
      ''Nah,ambil duit ni! Jangan ganggu Hawa lagi!'' Adam menyerahkan beberapa not RM50 kepada Nazir.Nazir pantas mengambilnya seraya tersenyum.Senyuman yang paling dibenci aku.
      ''Baik betul teman lelaki kau ni,Hawa.Kaya lagi! Kan bagus kalau selalu macam ni.Aku pun tak bagi masalah kat korang.'' Nazir ketawa seraya berlalu dari situ sambil mencium-cium duit yang baru diberi oleh Adam.
      Aku mendengus marah. Aku bangun dari dudukku. ''Adam,siapa suruh kau bagi duit tu kat dia? Siapa?! Kau ni suka sangat sakitkan hati aku kan!''
      ''Hawa...''
      Aku terus pergi dari situ tanpa menunggu Adam habiskan kata-katanya.Adam pantas mengejar aku dari belakang.Hujan rintik-rintik yang turun tidak menghalang aku dan Adam dari meneruskan langkah.Adam memegang lenganku apabila dia berjaya memintasku.
      ''Lepaskan tangan aku,Adam!'' Aku berusaha untuk menarik tanganku tapi pegangan Adam terlalu kuat.
      ''No,I won't!''
      ''Kenapa Adam? Kau nak sakitkan hati aku lagi?''
      ''Sebab aku sayangkan kau,Hawa!''
      Guruh berdentam dentum di langit,seperti hatiku yang terkejut mendengar pengakuan Adam.Tubuhku terkaku.Sukar bagiku untuk menerima apa yang baru aku dengar.
      ''Ya,Hawa.Aku bagi duit tu sebab aku tak nak abang tiri kau sakitkan kau lagi.Sejak pertama kali lagi aku jumpa kau,hati aku dah menjadi milik kau,Hawa.Dan aku akan perjuangkan cinta aku kerana aku yakin,kau juga mempunyai perasaan yang sama seperti aku.''
      Aku terdiam.Kepalaku kutundukkan ke bawah.
      ''Hubungan seperti itu tak mungkin antara kita,Adam.''
      ''Kenapa?''
      ''Kita terlalu berbeza,Adam.Kau berasal dari keluarga baik,berkedudukan,kaya-raya.Sedangkan aku hanya seorang gadis miskin,datang dari keluarga huru-hara.Seumur hidup aku,aku tak pernah merasai kasih sayang dari keluarga sendiri.Ayah aku dulu tak bekerja,panas baran,menganggur,selalu sangat pukul mak aku dan membuatkan mak aku meninggal sebelum aku sempat merasai kasih sayangnya.
     Lebih teruk lagi,aku dapat mak dan abang tiri yang kejam dan suka sangat menyeksa aku.Keadaan jadi lebih teruk bila ayah aku meninggal.Mereka layan aku macam hamba,macam sampah yang tiada harga,sampai aku membesar jadi gadis yang keras kepala macam ni.Aku tak mahu kau terlibat dalam kehidupan aku,Adam.Kau terlalu sempurna untuk bersama gadis macam aku.You deserve someone better than me,Adam.''
       ''Aku tak kisah,Hawa.Aku tak peduli kalau kau berasal dari keluarga yang macam mana pun.Apa yang aku tahu,gadis keras kepala bernama Hawa Anani nilah satu-satunya yang berjaya mencuri sekeping hati Muhammad Adam bin Muhammad Aizril.Dari dulu,kini,dan tak akan berubah sampai bila-bila pun.''
       ''Adam...'' Hatiku terharu mendengar kata-kata Adam.Dia pantas menarik aku dalam pelukannya yang hangat.Aku berasa bahagia sekali,satu perasaan yang tak pernah aku rasai selama ini.Terima kasih Adam,kerana kau telah memberi sinar dalam hidupku....
      



No comments:

Post a Comment