Tuesday, 5 June 2012

Puteriku Anastasia Prolog


Ingatan mula menggamit perhatian…

Seorang insan yang kesepian…….

AGI itu,suasana begitu dingin sekali.Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa sejuk sekali sehingga rasanya sampai ke tulang temulang.Pengunjung yang berada di Pantai Lido ketika itu boleh dibilang dengan jari. Ada yang sedang berjoging,ada yang berjalan-jalan di tepi pantai dan ada juga yang sekadar duduk bersantai di bawah pokok yang berada di sekitar pantai itu sambil menikmati keindahan alam yang dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa.Pantai Lido memang terkenal dengan keindahan semulajadinya.

       Dia berdiri menghadap laut.Suasana di pantai itu masih terasa nyaman.Pantai itu masih begitu indah, walaupun bertahun-tahun telah berlalu ditelan masa.Sungguh cantik  sekali keadaan laut yang sedang bergelora ini…seindah cintanya yang pernah berputik pada suatu ketika dahulu.

        Ombak yang menghempas pantai mematikan lamunannya.Camar yang keluar dari sarangnya untuk mencari makan menggamit perhatiannya.Burung-burung yang sedang berkicauan menghiburkan hatinya.Dia tersenyum.Semua itu mengingatkannya kembali kepada suatu kenangan terindah yang pernah berlaku dalam hidupnya.

        Kenangan itu pernah membuatkan masa lalunya menjadi begitu indah sekali,seindah bintang yang sedang berkelipan di dada langit yang gelap,begitu cantik sekali tatkala ia menyinar terang menerangi suasana malam.Bintang bersinar kerana cahaya,dirinya pula bersinar kerana seseorang yang membawa erti besar di dalam hidupnya.

       Seseorang yang pernah mewarnai zaman kanak-kanaknya,walaupun hanya untuk jangka waktu yang  singkat.Seseorang yang pernah hilang dari ingatannya,tetapi sering muncul di dalam mimpinya.Seseorang yang tidak pernah putus menasihati dan mengkritik tatkala dia hanya mampu berfikir untuk berada di ambang maut.Ah,sesungguhnya dia amat merindui semua kenangan itu.      

      Sepasang kekasih yang sedang berlari di tepi pantai menarik perhatiannya.Mereka kelihatan begitu bahagia sekali,seakan-akan tiada siapa di dunia ini selain mereka berdua.Setelah puas berlari-larian,mereka membina istana pasir pula mengikut kreativiti masing-masing.Saat istana pasir itu tumbang kerana terkena desiran ombak yang sesekali menghempas pantai,wajah si gadis kelihatan masam seketika,tetapi pujukan sang kekasih berjaya membuatkan hati si gadis cair dan senyuman mula menguntum kembali di bibirnya.

      Senyumannya semakin melebar melihat kebahagiaan yang terpancar pada wajah-wajah makhluk ciptaan Allah itu.Sungguh indah sekali senyuman yang lahir dari hati yang tulus dan ikhlas, disulami pula dengan rasa cinta yang tak berbelah bahagi.Dulu,dia juga seperti mereka.Bermain di pantai itu dengan gembira sekali.Bezanya,ketika itu dia dan si dia masih kecil.Perbezaan umur yang ketara langsung tidak mengganggu perhubungan mereka.

      Setelah puas menikmati keindahan lautan yang terbentang luas,dia pergi ke arah sebuah pokok yang tidak jauh darinya.Dada kanvas di hadapannya direnung seketika.Ilhamnya mula datang secara perlahan-lahan.Dia melihat pasangan kekasih itu dengan pandangan mata yang tajam ,dan secara perlahan-lahan tangannya mula melakar apa yang sedang diperhatikannya.

      Sedikit demi sedikit lakaran mula terbentuk dan membentuk dua imej manusia sedang bermain  dengan wajah yang gembira.Bezanya,dia melakar wajah orang yang disayanginya dan dirinya sendiri sebagai dua insan  itu.Setelah hampir separuh dari lukisannnya siap,dia merenung kembali lukisan itu.Sudah banyak lukisan yang dihasilkannya sebelum ini.Dengan gaya yang berbeza,tetapi dengan watak yang sama,bersama sedikit kelainan yang dibawa.                           

     Dia mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang dibawanya.Sebuah lukisan yang warnanya sudah hampir pudar direnungnya.Melihat potret gadis manis yang sedang tersenyum itu membuatkan hatinya dihambat pilu.Betapa besar kesalahannya terhadap gadis yang dicintainya itu sehingga menyebabkan gadis itu terpaksa menanggung kesengsaraan selama bertahun-tahun. Hanya kerana dendam.Hanya kerana kebencian yang akhirnya bertukar menjadi cinta yang agung.Cinta yang sangat agung sehingga sanggup mengorbankan diri sendiri.

     Semua ini berlaku hanya kerana satu sebab.Kerana dia mencintai gadis itu!

    Dia mengeluh seraya merenung lagi ke arah lautan di hadapannya yang pernah membawa seribu memori dalam hidupnya.

     Maafkan abang,Anas…

1 comment: