Mengimbas kembali memori lama….
MEI 2010
SUASANA di KLIA pada waktu itu agak sibuk.Di sana sini,banyak
orang yang lalu lalang dengan pelbagai tujuan.Di satu sudut,kelihatan seorang
gadis manis sedang duduk di tempat menunggu.
Zara hanya memerhati panorama di sekelilingnya dengan pandangan
kosong.Matanya kosong,tidak lagi bercahaya seperti dahulu.Renungannya penuh
kesedihan dan penderitaan yang bukan sedikit.
Sekeping gambar dikeluarkan dari beg dan
direnung dengan sayu.Tangannya mengusap lembut wajah lelaki yang sedang
tersenyum ceria sambil menunjukkan tanda ‘peace’
itu. Adi...
Tatkala nama Adi terlintas dalam fikirannya,air
mata Zara mengalir tanpa segan silu.Rasa sebak menghantui dirinya. Satu-persatu
kenangannya bersama Adi mewarnai kotak mindanya.
‘’Bila kau hidup dengan baik,aku akan
merasakan kebahagiaan aku yang telah hilang sejak dulu dapat aku tebus kembali.
Kerana…hanya kaulah satu-satunya gadis yang aku cintai di dunia ni,Anasuha.Hanya
kau…dan sentiasa akan begitu.’’
Hati Zara semakin pilu apabila
teringatkan pesanan terakhir Adi.
Tidak semena-mena, fikiran Zara mengimbas kembali memori lama yang sudah
sekian lama terkubur ditelan waktu.
TAHUN 1996
‘’ANAS,Abang Ayi janji yang abang takkan
sesekali tinggalkan Anas.Abang janji akan jaga Anas selamanya…’’Abang Ayi
mengutarakan janji dengan
bersungguh-sungguh.Wajah gadis comel di hadapannya dipandang dengan penuh rasa
kasih.
‘’Betul ke,Abang Ayi?’’Mata Anas terkebil-kebil.Dia memandang wajah
abang kesayangannya itu dengan pandangan tidak mengerti.Apalah sangat yang
mampu difahaminya dalam usia yang masih terlalu mentah.
Bunyi desiran ombak yang menghempas pantai semakin kedengaran,bagaikan
menjadi saksi kepada janji yang termetarai di antara mereka.Istana pasir yang
dibina juga kelihatan cantik sekali di bawah sinaran mentari senja yang semakin
hilang ditelan malam.Abang Ayi mengangguk.
‘’Betul,Anas.Bersaksikan istana pasir yang kita bina bersama-sama
ini,abang janji yang abang akan lindungi Anas. Abang tidak akan tinggalkan Anas
sampai bila-bila.Abang sayangkan Anas…’’Abang Ayi mengucup pipi
Anas lembut,disertai dengan hati yang sarat dengan kasih sayang.
‘’Yayy.Anas
pun sayang sangat dengan Abang Ayi.Abang Ayi janji tau.’’Anas menjerit
kegirangan. Gadis comel itu tersenyum gembira.Dia memeluk abangnya dengan
erat.Abang Ayi turut mengukir senyuman.Dia berharap,suatu saat nanti Anas akan
mengerti maksud kata-katanya….
‘’Anas
tak nak tinggal kat sini! Anas nak balik rumah! Anas nak abah! Anas nak mak!
Anas nak Abang Ayi!’’Anas menjerit menyatakan keinginannya.Dia terus menangis teresak-esak.Puan
Izzati berasa pilu sekali mendengar kata-kata gadis comel itu.Dia memegang bahu
anak kecil itu yang sedang mengesat-ngesat matanya dengan pandangan sedih.Encik
Khairil sekadar berdiam diri.Biarlah isterinya yang mengendalikan suasana.
‘’Anas,dengar
cakap mama sayang.Abah,mak, dan Abang Ayi…dia orang dah tak ada kat dunia
ni.Dia orang dah pergi ke dunia lain yang lebih baik dari dunia ni.’’Puan
Izzati menerangkan dengan suara lembut.Sejak bertemu dengan anak kecil itu
seminggu yang lalu,dia sudah membahasakan dirinya dengan panggilan mama.Rasa
kasihnya sudah tumpah buat Anas.
‘’Mak cik tipu! Abang Ayi dah janji dengan Anas yang Abang Ayi nak
sama-sama dengan Anas sampai bila-bila! Mak cik tipu! Mak cik tipu!’’Tangisan
Anas semakin kuat.Manik-manik jernih mula membasahi bahagian atas
skirtnya.Wajahnya yang putih itu bertukar merah.
‘’Anas,mama tak tipu sayang! Mama tak tipu!’’Sendu Puan Izzati juga
mulai kedengaran.Bukan sedih kerana dituduh sedemikian rupa,tetapi sebak
apabila mengenangkan nasib kanak-kanak itu yang telah menjadi yatim piatu dalam
sekelip mata.
‘’Mak cik tipu! Anas tak nak ada kat sini! Anas nak ada kat dalam tanah
tu dengan semua orang!’’ Serentak dengan itu, Anas menolak tangan Puan Izzati
dengan kuat dan menuju ke arah pintu pagar utama.Pasangan suami isteri itu
terkejut dengan tindakan Anas yang drastik.
‘’Abang,Anas!’’Puan Izzati menjerit cemas. Encik Khairil yang sejak tadi
tenang mula bertukar wajah.Mereka berdua berlari pantas untuk mendapatkan Anas
yang sudah berada di luar pagar rumah.
‘’Anas,awas!’’Kedua-dua mereka menjerit serentak apabila melihat sebuah
kereta semakin menghampiri Anas yang ketika itu sudah berada di tengah-tengah
jalan. Anas berpaling.Riak terkejut jelas terpancar pada wajahnya.Mulutnya
ternganga luas.
‘’Ahhhhh…’’Jerit Anas sekuat hati.Dia menutup matanya dengan tangan.Dan
tiba-tiba….
Ada sepasang tangan yang memeluk tubuhnya dan sepantas kilat membawanya
ke tepi.Mereka berdua terjatuh.Sekalipun mereka berdua terjatuh,tangan itu tetap
erat memeluk tubuhnya.Anas membuka matanya perlahan-lahan.Abang Ayi!
Namun Anas mula sedar,sangkaannya meleset.Lelaki itu bukan Abang
Ayi.Abang Ayi tidak mempunyai tahi lalat di pipi kanannya.Anas mula menangis
teresak-esak.
‘’Ish,kenapa menangis ni.Janganlah nangis,ya.’’ Pujuk budak lelaki
itu.Tetapi Anas terus mengalirkan air matanya.
‘’Anas!’’ Puan Izzati terus menerpa ke arah Anas seraya memeluk gadis
comel itu.Anas hanya membiarkan.
‘’Anas?’’ Sebut budak lelaki itu sepatah.Wajahnya berubah menjadi sangat
gembira. ‘’Jadi,inilah adik baru Iz,ya mama?’’
Puan Izzati mengangguk perlahan.Anas pula tidak berkata
apa-apa.Fikirannya kosong ketika itu.
10 TAHUN KEMUDIAN….
SUASANA di SMSS pada pagi Isnin itu sungguh
tenang.Burung-burung yang berkicau-kicauan di atas pokok mendamaikan lagi
suasana.Di satu sudut,kelihatan tiga orang gadis berbaju pengawas sedang
berbual-bual.
‘’Zara,bila kau dah pindah nanti,kau jangan lupakan aku tau.’’ Ujar
Atilia dengan mata berair.
‘’Betul tu.Bila sampai sana nanti rajin-rajinlah e-mel kitorang kat
sini.’’ Sambung Jasmin tenang.Dia memang lebih tabah berbanding Atilia yang
berjiwa lembut.Walaupun dia turut sedih tetapi dia lebih senang tidak
mempamerkan secara terang-terangan.
‘’Jangan risau.Aku tak mungkin lupakan korang
sampai bila-bila.Koranglah sahabat baik aku dunia akhirat.’’ Balas Zara seraya
tersenyum. ‘’Atilia,kau janganlah sedih.Kau sayang kat aku,kan?’’
Atilia mengesat matanya yang berkaca-kaca itu.Emosinya memang mudah
tersentuh.Tak sangka setelah tiga tahun melalui susah dan senang bersama,akhirnya
mereka terpaksa berpisah juga.Selama ini,Zaralah yang selalu menolongnya
apabila dia menghadapi masalah.Nampaknya,kini hanya tinggal Jasmin seorang
saja.
‘’Zara….’’ Seseorang memanggil nama Zara dari belakang.Zara tersenyum
kepada Ikram yang sedang menghampirinya.
‘’Hemm…. Atilia,jom teman aku kejap,pergi jumpa Cikgu Zatul.Ada hal
sikit.’’ Jasmin menarik lengan baju Atilia.Atilia hanya menurut,faham dengan
maksud Jasmin.
‘’Kitorang pergi dulu ya!’’ Ujar Jasmin sebelum dia dan Atilia
pergi.Sempat lagi dia memberi isyarat tangan kepada Ikram.Ikram hanya membalasnya dengan senyuman dan mengambil
tempat duduk di sebelah Zara.
‘’Sunyilah nampaknya kalau awak
tak ada di sini,Zara.’’ Ujar Ikram setelah agak lama mereka menyepi.
‘’Hemm…. Takkan ada lagilah orang yang nak membebel pada awak pasal
perangai Fazrul yang macam monyet tu.’’
Ikram ketawa. ‘’Ya,belum masuk lagi dengan kawan-kawan dia tu.’’
‘’Juga kerenah Cikgu Safira yang asyik marah-marah kalau ada pelajar
yang buat hal.’’
‘’Yang asyik kutuk-kutuk dia di Facebook.’’
‘’Kemudian paksa kita buat akaun FB….’’
‘’Untuk tolong block budak
tu.’’
Ikram dan Zara ketawa serentak.Memang terlalu
banyak kenangan melucukan yang tak boleh dilupakan sepanjang mereka berdua
menjadi rakan setugas sebagai pengawas.
‘’Awaklah partner saya yang
paling baik,Zara.Saya takkan jumpa lagi rakan setugas yang sebaik awak.’’
‘’Saya juga,Ikram.’’
Mereka berdua berbalas senyuman.Kemudiannya,Zara memandang ke arah
langit.Dia bagaikan melihat Abang Ayi yang sedang ketawa sambil melambaikan
tangan ke arahnya di sebalik awan yang putih bersih itu.Zara tersenyum.
Abang Ayi,I’m coming home!
No comments:
Post a Comment